Friday, November 20, 2015
Thursday, October 29, 2015
Tuesday, October 20, 2015
Monday, January 11, 2010
Thursday, December 31, 2009
BELASUNGKAWA
KHALID ABDUL RAHMAN ( KAR )
1959 - 2009
Beliau sebenarnya begitu matang dalam mentalaah setiap ungkapan yang ingin diangkat untuk tatapan khalayak juga bertanggungjawab dalam berkarya, sayangnya sarana teknikal dan beberapa keadaan tika itu tidak memungkinkan ianya direalisasikan. Pemikiran beliau dalam menterjemah teks untuk pementasan juga begitu menyerlah seperti mana serlahan pengkarya masa kini. Begitupun kerana keterbatasan waktu sebagai seorang DJ Radio membuat karya-karyanya terpinggir dan sukar untuk diungkapkan dan barangkali kekecewaannya bila berhadapan dengan karenah birokrasi dan kurang sarana yang boleh membantu dalam membentuk artistik yang pesona.
Penglibatan bersama KAR dalam merealitikan “PLANET” yang dipentaskan pada penghujung tahun 1982 begitu indah nostalgianya kebetulan hadir bersama Manifestasi Seni Budaya dan Malam Sumpah Budayawan Sarawak. PLANET menampilkan remaja-remaja jalanan dari tembang hentian Bas Kuching berhadapan Electra House dan dihijrahkan oleh KAR ke Tepian Gelanggang ( selepas waktu bekerja ) KKBS waktu itu. Satu tanggungjawab yang besar atas penghijrahan anak-anak jalanan ini. ( Namun mereka tidak sesat lagi ) Kunjungan ke tembang lama ( hentian Bas ) tidak dapat dielakkan. Kerna ilhamnya bergugusan lahir disitu. Barangkali untuk orang seperti kami saja. Generasi ini dikutip oleh KAR setelah melihat gelagat dan watak yang memikat hatinya lalu penglibatan semakin serius tanpa ilmu yang mendasari. Namun tiap tutur kata KAR dapat dijadikan garis panduan dan pegangan dalam membentuk kejahilan berkarya.
RUSDA sebuah badan teater di Sarawak yang begitu gah namanya dan mempunyai ramai aktivis-aktivis yang popular dan wibawa setanding rakan artis popular di Ibu Kota termasuk saudara KAR namun beliau dalam nada yang agak lembut telah menubuhkan PENANDRA ( Penari dan Dramatis ) bagi memacu kreativiti yang terangsang akibat daripada keghairahan berkarya. PENANDRA yang pemula, bergiat dengan keterbatasan waktu kerna komitmen ahlinya tidak sepadu. PENANDRA kedua yang didokongi oleh anak-anak muda cergas berkarya melangkah perlahan namun terkesan bilamana KAR menzahirkan ( menyutradarai ) Seniman Kehilangan Ilham karya Yusnor F ( Karyawan Singapura ) dan menurut Zaini Ozea @Oje ( seorang aktivis teater terkenal Sarawak ) sebuah teater yang baik pernah ditontoni berdasarkan teks yang sama ketika berada di Singapura dulu. ( barangkali statement ini tidak silap didengar ) walaupun teks itu sekadar diangkat daripada naskah drama radio dan yang paling istimewa dalam teater ini KAR berjaya mengarap penglibatan pelbagai kaum.
Keakraban ketika di Kuching dan Sri Aman banyak mematangkan lagi pengalaman bersama. Sering dirungkaikan permasalahan venue dan sarana, bagaimana harus meyakini pemerintah untuk pengujudan sarana yang wajar untuk aktivis-aktivis teater di Kuching. Apa modal dan kekuatan yang kita ada. Kita cuma kaya dengan segala kemiskinan politik. Dalam abad ini politiklah penentu segala. Akhirnya khayalan itu menerawang begitu saja. Dan baru kini setelah penghijarahan saya dan masalah kesihatan yang dialami oleh KAR, sarana teater nampak meyakini para penggiat dan keberuntungan aktivis masa kini dimanafaat sepenuhnya. Sehingga membawa beberapa kejayaan besar diperingkat nasional. Ternyata dengan adanya sarana serta ilmu teater yang ditimba bersama rakan-rakan pandai teater yang lain seperti Beduwi Narawi, Ramli Ali, Mulyadi M.Masino, Mohd. Sebli, Zaini Oje, Allahyarham Esmawi Hj Husly dan di sulami dengan kehadiran penyair ternama Indonesia Rendra atau Mas Willi ( yang direncanakan oleh Saudara Elias Abdullah dan Razy Mohd. Nor sekarang Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara melalui Allahyarham Saudara Aziz H.M,) suatu waktu dahulu telah menambahkan lagi corak permainan teater di Sarawak kerana pendekatan yang diamalkan begitu akrab dengan alam dan lingkungan serta tokoh-tokoh mudanya yang wibawa seperti Hajjah Saptuyah Bolhi, Zakaria Abdul Manan, Abdillah Untong, Supian Bujang, Tajol Ashikin, Sufian Jalet ( sekadar menyebut beberapa nama ) dan walaupun bukan semuanya lansung bersama Rendra namun tempiasnya terkesan. Semarak seninya gah mengangkat martabat teater bumi kenyalang tiada bezanya dengan kumpulan-kumpulan yang ada di Ibu Kota. Malah ada yang lebih baik dari apa yang ada di Ibu Kota. ( Mengimbau pengalaman bersama dan menumpang kejayaan rakan2).